Powered By Blogger

Saturday, October 5, 2013

Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku

"Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" adalah merupakan tema hari kemerdekaan yang ke-56. Tema ini dipilih kerana ia dilihat lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa. Tema ini juga dipilih untuk mengingatkan rakyat tentang kepentingan bersatu mempertahankan negara disamping mewujudkan kesedaran rasa sayanag dan cintakan terhadap negara Malaysia.

Kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan warna kulit mestilah mempertahankan kemerdekaan yang telah diperoleh. Kedaulatan Malaysia perlu dipertahankan kerana ia adalah merupakan satu-satunya warisan untuk generasi yang akan datang. Kita semua semestinya tidak mahu lagi berada dibawah kawalan penjajah setelah tanah air kita dijajah selama lebih kurang 446 tahun yang bermula pada 1511 dan berakhir dengan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Antara kuasa-kuasa barat yang telah menjajah tanah air kita ialah Portugis, Belanda, British, dan Jepun.

Semasa penjajahan oleh kuasa-kuasa barat, nenek moyang kita dahulu telah bertungkus lumus dan mengharungi pahit getir dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Ramai pahlawan-pahlawan melayu telah bangkit untuk mempertahankan tanah air yang tercinta ini. Mereka sanggup menggadaikan nyawa demi untuk mempertahankan tanah air ini daripada terus dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Antara pahlawan-pahlawan melayu yang telah bangkit menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Ngah Ibrahim, Mat Salleh, Datuk Maharajalela, Tun Perak dan ramai lagi. Mereka telah berjuang sehingga titisan darah yang terakhir. Mereka gugur ketika cuba mempertahankan tanah air kita.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah bersatu padu dan menanam sikap perpaduan untuk sama-sama mempertahankan negara ini daripada segala anasir-anasir luar. Selain itu, rakyat Malaysia juga perlu memerdekakan minda mereka daripada dijajah oleh budaya dan pemikiran asing bukan sahaja memerdekakan tanah air. Dalam agama Islam juga kita dituntut supaya mempertahankan negara dari segala ancaman. Islam juga menuntut kita menjaga agama, nyawa, keturunan, maruah dan harta.

Justeru itu, masyarakat negara ini diseru supaya bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi oleh ancaman-ancaman luar. Sikap perpaduan dan patriotisme perlu dipupuk dan ditanam di dalam jiwa setiap anak bangsa supaya mereka menghargai betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan oleh generasi yang lalu demi kedaulatan negara.

No comments:

Post a Comment