Friday, November 18, 2011

Ar-Rahnu


PENGENALAN
Ekonomi merupakan salah satu daripada ilmu sains sosial yang mengkaji tentang individu dan masyarakat dalam membuat pilihan yang betul bagi menggunakan sumber-sumber yang terhad seperti tanah, buruh, modal dan usahawan bagi memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad.
Malaysia merupakan salah satu contoh negara yang sedang giat membangun dalam semua bidang terutamanya bidang ekonomi, di mana bidang ekonominya terbahagi kepada dua sistem utama iaitu kapitalis dan sistem ekonomi Islam. Penggunaan sistem ekonomi Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada tahun1983 dan kini sistem ekonomi berteraskan islam ini sudah mula mendapat perhatian dari pelbagai lapisan masyarakat. Dalam ekonomi islam itu sendiri terdapat perbagai produk kewangan yang ditawarkan antaranya ialah Al-Wadiah, Takaful, Mudharabah, Jialah, Ijarah dan Ar-Rahnu.
Dalam tugasan ini akan lebih memfokuskan tentang Ar-Rahnu yang merupakan sistem pajak gadai islam yang semakin popular dikalangan masyarakat pada hari ini, ianya bukan saja digunakan oleh orang Islam sahaja bahkan turut menarik perhatian golongan bukan islam untuk menggunakan sistem ini. Gadaian atau disebut Ar-Rahnu sebenarnya telah digunakan sejak zaman Rasulullah SAW lagi, dan ianya banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis nabi diantaranya:

“Dari Aisyah r.a yang bermaksud Nabi s.a.w  pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan harga yang dihutang.  Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w menyerahkan baju besinya”.(Riwayat Al-Bukhari)


Didalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. yang bermaksud,” ketika Nabi s.a.w. wafat, baju besinya masih dalam keadaan menjadi tanggungan hutang 20 sha’ (lebih kurang 50 kg) bahan makanan yang dibelinya untuk nafkah keluarganya".(Riwayat Tirmidzi)

Telah diriwayatkan juga didalam hadis yang lain yang bermaksud "Bahawasanya Nabi s.a.w menggadaikan (Rahn) diran (baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya."
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Ar-Rahnu merupakan satu sistem gadaian Islam yang bererti meletakkan sesuatu barang yang berharga sebagai jaminan atau cagaran oleh pemiliknya untuk mendapatkan pinjaman. Sekiranya pemilik tersebut tidak dapat menyelesaikan hutangnya, si pemberi hutang berhak untuk mendapatkan kembali wang dipinjamkannya daripada barang gadaian tersebut. Dengan kewujudan sistem Ar-Rahnu atau pajak gadai islam ini dijangka dapat membantu golongan-golongan yang memerlukan wang tunai segera. Skim ini bukan sahaja dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah tetapi juga golongan-golongan yang lain yang memerlukan pinjaman mikro kredit yang cepat tanpa ada unsur riba serta menguntungkan kedua-dua belah pihak sama ada penggadai atau penerima gadaian.




PENGERTIAN AR-RAHNU

Ar-Rahnu merupakan istilah yang diambil daripada kata terbitan bahasa Arab iaitu Al-Rahn. Al-rahn adalah berasal daripada kata perbuatan rahana yang bermakna menggadaikan. Perkataan ini membawa maksud kena gadai (atau digadaikan)[1].


DEFINISI  AR-RAHNU MENURUT ULAMA’

Definisi Al-Rahn menurut istilah undang-undang Islam ialah sebagaimana yang diperkatakan oleh para ulama Maliki iaitu “Pemberian seseorang yang diizinkan berkontrak, sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar yang sedikit sebagai sandaran (jaminan) ke atas sesuatu hak[2]”. Definisi diatas adalah meliputi definisi yang dinyatakan oleh empat mazhab utama ahli sunnah iaitu mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafie dan mazhab Hambali.

Penggunaan perkataan “pemberian” meliputi semua urusniaga samada gadaian atau jual beli. Ungkapan “seseorang yang diizinkan berkontrak” meliputi mukallaf yang dizinkan berurusniaga mengikut perundangan Islam iaitu berakal, baligh dan tidak boros. Manakala  ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” membawa makna sesuatu perkara yang boleh digunakan dalam berkontrak contohnya berjual beli.

Perkataan gharar dalam bahasa Arab berasal daripada kata perbuatan gharra bermakna memperdaya. Dari segi istilah, gharar ialah sesuatu yang tidak diketahui kewujudannya atau ketiadaannya atau tidak diketahui jumlahnya sama ada sedikit atau banyak atau sesuatu yang tidak mampu diserahkan ketika berkontrak. Gharar yang sedikit pada pandangan mazhab Maliki ialah sesuatu ketidakpastian yang dimanfaatkan oleh masyarakat[3].

Ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” adalah merangkumi perkara yang boleh digadaikan. Akan tetapi tidak semua perkara boleh dijadikan seperti babi, arak, bangkai dan sebagainya benda benda ini haram dan tidak boleh sama sekali dijadikan barang gadaian walaupun ianya boleh dijual beli. Ungkapan ini memberi pengertian umum terhadap sesuatu itu sama ada ia benda atau manfaah (manfaat daripada benda), berdasarkan pandangan sesetengah mazhab yang membenarkan “bukan benda” atau manfaah sebagai perkara yang digadaikan. Contohnya ‘sesuatu hutang’ sebagai perkara yang digadaikan.

Ungkapan “atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” membawa pengertian berdasarkan mazhab Maliki, kepada pembenaran penggadaian sesuatu yang mempunyai unsur gharar yang sedikit. Manakala ungkapan ‘jaminan’ memberi erti bahawa kontrak ini khas kepada kontrak gadaian dan bukan terhadap kontrak selainnya, iaitu sesuatu perkara itu menjadi jaminan ke atas hutang yang diberikan oleh pemiutang.

Ungkapan “kepada sesuatu hak” pula meliputi gadaian kerana berhutang atau benda yang dipinjam. Ia bersesuaian kerana ungkapan ‘hak’ ini lebih umum. Istilah hak adalah meliputi hutang atau barang yang dipinjam kerana sesetengah mazhab mengkhususkan gadaian terhadap hutang sahaja dan tidak terhadap benda yang dipinjam.


MENURUT SYARA DAN BAHASA.

Pengertian Ar-Rahnu dari sudut istilah bahasa bermakna mantap dan berkekalan. Misalnya, keadaan yang mantap ataupun ia bermakna tahanan, seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.........."(Surah Al-Muddasir 74:38)

Manakala dari segi syara merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.



PANDANGAN ULAMA SEMASA.[4]

Ahmad Azhar Basyir mentakrifkan Ar-Rahnu sebagai "menjadikan suatu benda yang bernilai menurut pandangan syara sebagai tanggungan hutang dengan adanya benda yang menjadi tanggungan itu seluruh atau sebahagian hutang dapat diterima"

H.M Arsjad Thalib Lubis mentakrifkan Ar-Rahnu sebagai "menjadi suatu barang yang berupa harta dan ada harganya jadi jaminan hutang dan ia akan dijadikan pembayarannya jika hutang itu tidak dapat dibayar"

Abdul Rahman Al-Jaziri menerangkan bahawa Ar-Rahnu bererti " menjadikan barang yang ada harganya menurut pandangan syara sebagai jaminan kepercayaan hutang piutang. Dalam erti seluruh hutang atau sebahagiannya dapat diambil, sebab sudah ada barang jaminan

Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi dalam bukunya ‘Al-Halal wa Al-Haram fil Islam’ menghuraikan maksud gadaian itu sebagai sesuatu barang yang dijadikan peneguhan atau kepercayaan dalam urusan hutang-piutang. Barang yang dijadikan jaminan itu boleh dijual, jika hutang tidak dapat dibayar. Tetapi penjualan itu mesti sama nilainya dengan nilai wang dipinjam.

Berdasarkan definasi yang diberikan diatas ternyata bahawa Ar-Rahnu tidak mempunyai makna yang khusus, akan tetapi pengertian yang diberikan oleh Iman Maliki adalah lebih jelas dan ianya banyak diguna pakai dalam kebanyakan kitab-kitab feqah, dan pengertian ini juga turut di terima oleh ulama-ulama lain seperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali. Akan tetapi pengertian Ar-Rahnu ini dapat disimpulkan sebagai satu keadaan dimana penghutang atau penerima pinjaman menyandarkan barangan kepunyaan sebagai jaminan kepada hutang atau pinjaman yang diterima daripada pemiutang atau pemberi hutang.


KONSEP DALAM AR-RAHNU.

Ar-rahnu merupakan satu sistem pajak gadai dalam islam yang menggabungkan beberapa konsep-konsep syariah, antaranya Ar-rahnu, Al wadiah Yad Dhamanah dan Al-Qard.

Didalam konsep ini Ar-rahnu merupakan satu makanisme dimana satu barang yang berharga yang mempunyai nilai di sisi syarak dijadikan cagaran atau sandaran yang terikat dengan pinjaman secara bercagar yang boleh dibayar dengannya dengan cara menjual atau melelong barang tersebut bagi mendapatkan kembali hutang yang diberikan, ini terjadi sekiranya pihak yang berhutang tidak dapat menjelaskan hutangnya itu pada masa yang dijanjikan.

Al-wadiah yad dhamanah bermaksud simpanan barang yang berharga dengan jaminan, dimana setiap barangan yang disimpan dikenakan upah simpanan bagi menjaga barang tersebut. Dalam gadaian orang yang ingin mendapatkan pinjaman akan memberikan barang yang berharga seperti barang kemas, tanah, kereta ataupun lain-lain barang yang mempunyai nilai disisi syara kepada orang yang akan memberi pinjaman untuk disimpan sebagai cagaran terhadap pinjaman yang diberikan. Dalam keadaan ini pemberi hutang tersebut menjadi orang yang menjaga amanah dan ia sama sekali tidak mempunyai hak terhadap barang dalam simpanannya kerana ia diberikan upah dalam menjaga barang tersebut. Jika barang tersebut rosak ketika berada simpanannya maka wajib keatasnya untuk membayar ganti rugi akibat dari kerosakan yang terjadi keatas barang tersebut. Firman Allah yang bermaksud:

“sesungguhnya Allah s.w.t menyuruh kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya”.
(surah an-nisa’ 4:58)

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:

 “Tunaikanlah amanah terhadap orang yang memberikan amanah kepada kamu(Riwayat Tirmidzi)

Manakala Al-Qard pula merupakan pinjaman tanpa faedah atau pinjaman kebajikan yang diberikan untuk tujuan pertolongan. Ia merupakan satu pemberian hutang oleh satu pihak kepada pihak yang lain tanpa adanya sebarang keuntungan atau bayaran lebih semasa bayaran balik dilakukan. Pinjaman ini lebih kepada tanggungjawab sosial atau pertolongan kebajikan  daripada pihak yang berkemampuan kepada pihak yang memerlukan. Dalam Ar-Rahnu ia merujuk kepada pinjaman yang diberikan kepada peminjam berdasarkan peratusan tertentu daripada nilai marhun (barang gadaian), dan upah simpanan dikenakan untuk menyimpan barang gadaian mengikut kadar yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak bukannya berasaskan kepada jumlah pinjaman yang diberikan. Sabda Rasullullah s.a.w  yang bermaksud:

“sesiapa yang berbuat baik kepada kamu maka hendaklah kamu memberinya balasan yang baik”.(Riwayat Ahmad)

HUKUM AR-RAHNU

Firman-firman Allah dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud:

 ”Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang)”. (Al-Baqarah 2:283)

Didalam hadis-hadis nabi juga banyak disebut tentang Ar-rahnu antaranya daripada Aisyah r.a meriwayatkan yang bermaksud :

“Rasulullah s.a.w pernah membeli makanan dari orang Yahudi dan beliau menggadai kepadanya baju besi beliau”.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebuah hadith lain daripada Anas r.a yang bermaksud:

Rasulullah s.a.w telah menggadaikan baju besinya kepada orang Yahudi dengan mengambil buah gandum dan diberikan kepada ahli keluarganya”. (Riwayat Ahmad)

berdasarkan dalil-dalil dari Al-Quran dan hadis-hadis yang dinyatakan diatas ulama telah bersepakat menetapkan bahawa hukum gadaian adalah harus, ini kerana ianya telah nyata didalam disebut Al-quran dan selari dengan Al-hadis.


RUKUN AR-RAHNU.

Dalam menentukan rukun-rukun berkaitan dengan Ar-Rahnu, terdapat dua pandangan berbeza dikalangan ulamak. Mengikut pendapat dalam jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab Maliki, Shafie dan Hambali, serta pandangan mazhab Hanafi menyatakan bahawa secara amnya terdapat empat rukun dalam Ar-rahnu antaranya.

Ø  Dua orang yang berkontrak (penggadai atau al-rahin; dan penerima gadaian atau al-murtahin)
Ø  Hak yang menjadi sebab sesuatu itu digadai/tanggungan gadaian iaitu hutang (al-marhun bihi)
Ø  Perkara yang digadaikan (al-marhun)
Ø  Lafaz kontrak (sighah) ijab (lafaz memberi gadaian) dan qabul (lafaz menerima gadaian)

Manakala menurut sebahagian ulama lagi menyatakan bahawa rukun Ar-rahnu terbahagi kepada enam ini kerana mereka menjadikan dua orang yang berkontrak sebagai dua rukun yang berbeza begitu juga dengan ijab dan qabul turut dipisahkan menjadi dua rukun yang berlainan.

Ø  Penggadai (al-rahin)
Ø  penerima gadaian (al-murtahin)
Ø  Hak yang menjadi sebab sesuatu itu digadai/tanggungan gadaian iaitu hutang (al-marhun bihi)
Ø  Perkara yang digadaikan (al-marhun)
Ø  Ijab
Ø  Qabul

Manakala mengikut pandangan mazhab hanafi menyatakan bahawa hanya dua rukun sahaja yang terdapat dalam sesuatu kontrak Ar-rahnu iaitu:

Ø  Ijab
Ø  Qabul

Ini kerana individu atau pihak yang berkontrak dan perkara yang digadaikan terhadap sesuatu hak merupakanperkara yang mendatang dan mesti zahir apabila adanya ijab dan qabul.

Sebahagian ulamak lagi ada yang berpendapat hanya terdapat satu rukun saja dalam kontrak Ar-rahnu iaitu:

Ijab (lafaz menggadaikan)
Alasan mereka kerana kontrak gadaian adalah kontrak tabarru’at (iaitu kontrak sukarela dan kebajikan dimana dalam kontrak tersebut hanya satu pihak saja yang member manakala satu pihak lagi menerima tanpa membuat bayaran balas, dan ianya berbentuk umum meliputi sedekah, memberi pinjaman dan sebagainya. Pandangan ini ditolak oleh sebahagian kecil ulama mazhab Hanafi. Mereka menetapkan dua rukun tersebut (ijab dan qabul) pada gadaian. Ini adalah kerana walaupun kontrak gadaian merupakan kontrak Tabarru’at, namun ia bukan kontrak tabarru’at dari semua segi. Ini kerana pada pendapat mereka terdapat juga pada kontrak gadaian ini makna muawadah atau “pertukaran barang dengan sesuatu yang lain”[5]

 Tetapi ulama tidak menafikan bahawa Ar-Rahnu ini adalah sebahagian daripada kontrak tabarru’at , ini kerana kerana mereka mengatakan dalam Ar-rahnu memang terdapat penyerahan yang berlaku antara dua belah pihak diantara penggadai atau pemberi gadaian dan penerima gadaian atau  pemegang gadaian, akan tetapi dalam gadaian hanya satu pihak saja yang mendapat keuntungan  iaitu orang yang menggadai, manakala barang yang digadai yang terdapat pada pemegang gadaian masih lagi menjadi milik penggadai dan orang yang memegang gadaian ini tidak berhak untuk melakukan apa-apa terhadap barang gadaian tersebut, ini kerana barang yang digadai tersebut bertindak sebagai sandaran atau jaminan dari pihak penggadai bagi mendapatkan faedah atau manfaat daripadanya yang berbentuk pinjaman wang daripada pihak pemegang gadaian. jadi Tidak timbul dalam kontrak ini bahawa pihak yang memegang gadaian mereka mendapatkan untung daripada penyimpanan barang gadaian. Tidak sebagaimana dalam skim al-rahn yang dilaksanakan dewasa ini.  Perbelanjaan menjaga barang gadaian mengikut kadarnya yang sebenar tanpa mengambil untung, tidak terpisah daripada kontrak gadaian itu sendiri. Memberi pinjaman atau hutang dari pihak yang memberi hutang adalah sedekah. Memberi sesuatu barang daripada pihak yang berhutang kepada pemberi hutang sebagai jaminan kepada hutangnya juga adalah sedekah

Oleh itu, pertikaian terhadap transaksi Ar-Rahnu ialah apabila diubah kontrak Al-Rahnu daripada hakikat kontrak untuk bersedekah (tabarru’at) kepada kontrak mencari keuntungan. Ia berlaku melalui tambahan “kontrak upah simpan” antara penghutang dan pemiutang. Ini menyebabkan unsur-unsur yang dipertikaikan dimasukkan lebih-lebih lagi Al-Rahnu berbeza dengan gadaian konvensional yang menjadikan barang sebagai sandaran dan pinjaman dikenakan kadar faedah tertentu. Antara masalah gadaian mengikut perundangan Islam ialah segala kos menjaga barang milik penghutang akan ditanggung oleh penghutang kerana barang itu adalah miliknya. Menurut ulama fekah, penghutang hanya membayar kos yang sebenar untuk menjaga barang gadaian. Sebarang pengambilan untung daripada kos tersebut oleh pemiutang adalah riba kepada pinjaman wang, kerana pemiutang menyimpan barang gadaian daripada penghutang berasaskan akad (kontrak) gadaian dan bukan kontrak upah yang berasingan. Transaksi kontrak gadaian sudah meliputi peminjaman wang atau barang dan penyerahan barang gadaian. Sekaligus meliputi juga tanggungjawab penghutang untuk membayar kos sebenar menjaga barang gadaian miliknya tanpa perlu kepada kontrak upah yang baru. Jikalau ada keuntungan daripada kontrak al-rahnu yang merupakan kontrak Tabarru’at, maka ia adalah keuntungan maknawi, iaitu keuntungan yang datang secara tidak langsung seperti orang miskin merasa terbela yang membawa kepada keselamatan harta orang-orang kaya. Pemberi hutang pula mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah (s.w.t.).


SYARAT – SYARAT AR-RAHNU.

v  Syarat penggadai dan pemegang gadaian (al-Rahin dan al-Murtahin )
Penggadai dan pemegang gadaian mestilah seorang yang berkebolehan dan berkelayakan dalam menguruskan harta, disamping itu penggadai dan pemegang gadaian merupakan seorang yang baligh, berakal dan segala tindakan mereka berpunca dari kemahuan sendiri bukan paksaan daripada orang lain. Yang terakhir hendaklah berkelayakan dalam memberi dan menerima barang gadaian iaitu mestilah sama ada pemilik kepada barang yang digadai atau pemilik kepada hutang yang dicagar dengan gadaian.

v  Syarat barang gadaian (al-Marhun)
Barang yang hendak digadaikan itu mestilah barang yang bernilai dan boleh dijual serta berbentuk benda bukannya berbentuk manfaat. Barang tersebut mestilah hak milik mutlak  penggadai bukannya barang yang dirampas atau dipinjam. Disamping itu penggadai dan pemegang gadai mengetahui keadaan barang tersebut.


v  Syarat bayaran (al-Makful Bihi )
Mestilah bayaran yang diterima oleh penggadai itu dalam bentuk hutang iaitu dalam bentuk matawang bukannya berbentuk sesuatu benda yang dihutang dan hendaklah hutang tersebut mestilah telah sah menjadi tanggungan penggadai terhadap penerima gadaian. Manakala Jumlah dan sifat hutang mestilah diketahui oleh kedua-dua pihak dan bayaran hendaklah dijelaskan pada waktu yang ditetapkan  sebagaimana yang telah dipersetujui bersama.


v  Sighah (ijab dan qabul)
Mestilah menggunakan sighah yang khusus merujuk kepada gadaian dan penerimaan gadaian. 

PERKARA YANG MEMBATALKAN AR-RAHNU.

Gadaian akan dikira terbatal dan tamat sekiranya penggadai telah membayar keseluruhan hutangnya kepada pemegang gadaian ataupun barang yang digadaikan itu diserahkan semula kepada penggadai. Disamping itu pembatalan ini juga berlaku sekiranya barang gadaian itu rosak dan orang yang memegang gadaian itu meninggal dunia. Jika seseorang itu tidak dapat menjelaskan hutangnya pada masa yang ditetapkan dan menyebabkan barang gadaiannya dijual turut akan membatalkan gadaian yang berlaku ataupun barang yang digadai itu telah disewa atau disedekahkan kepada orang lain. Pembatalan juga akan berlaku sekiranya orang yang memegang gadaian itu membatalkan gadaian walaupun tanpa pengetahuan penggadai.

.
HUKUM - HUKUM  BERKAITAN DENGAN BARANG GADAIAN.

Terdapat beberapa hukum berkaitan dengan barang gadaian mengikut perspektif perundangan Islam. Diantara hukum yang berkaitan dengan barang gadaian adalah:

1.      Nafkah terhadap gadaian.
Terdapat dua bentuk nafkah yang berbeza yang telah diberikan oleh para ulamak muktabar berkaitan dengan nafkah barang gadaian antaranya:
·        Nafkah untuk meneruskan kewujudan barang gadaian.
·        Nafkah penjagaan untuk penjagaannya.

 Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa penggadai (al-rahin) wajib menanggung perbelanjaan bagi memastikan kewujudan sesuatu yang digadaikannya. Contohnya perbelanjaan memastikan kereta yang digadaikan dalam keadaan sempurna melalui servis yang berterusan merupakan tanggungjawab penghutang/penggadai (pemilik kereta). Namun mereka berbeza pandangan dalam menentukan nafkah penjagaan bagi barang gadian tersebut, iaitu perbelanjaan selainnya (seperti menyediakan tempat letak kereta) adakah ianya merupakan sebahagian kos yang perlu ditanggung oleh penggadai (iaitu penghutang tersebut) atau sebaliknya?

Terdapat dua pandangan ulama yang berbeza berkaitan dengan permasalahan ini iaitu:
A.     Kebanyakan ulama (jumhur ulama) berpandangan bahawa perbelanjaan menjaga barang gadaian adalah tertanggung di bahu penggadai. Ia meliputi perbelanjaan berupa sesuatu yang “meneruskan kewujudannya” atau sesuatu perkara lain untuk menjaganya. Ia berasaskan bahawa segala perbelanjaan tersebut adalah untuk faedah penggadai itu sendiri iaitu menjaga kesempurnaan barang penggadai.[6]

B.     Mazhab Hanafi berpandangan bahawa perbelanjaan untuk “meneruskan kewujudan” barang gadaian adalah tanggungan penggadai. Manakala perbelanjaan untuk menjaganya seperti tempat letak kereta yang khususn adalah tertanggung di atas tanggungjawab penerima gadaian (pemiutang). Ia berdasarkan kepada pandangan bahawa penerima gadaian memegang barang tersebut untuk faedah dirinya iaitu sandaran ke atas pinjaman atau hutang yang diberikan. Oleh itu, penerima gadaian tidak berhak untuk meminta perbelanjaan tersebut dari penggadai.[7]

2.      Penggunaan atau mengambil manfaat daripada barang gadaian.
Dalam permasalah yang berkaitan dengan pengambilan manfaat dari harta gadaian dapat dibahagikan dalam dua keadaan:
·        penerima gadaian (al-murtahin)  mengambil atau menggunakan barang gadaian.
·        penggadai (al-rahin) mengambil manfaat daripada barang miliknya yang berada di tangan penerima gadaian (pemiutang tersebut).

Dalam permasalahan ini hanya permasalahan tentang penerima gadaian (al-murtahin) yang mengambil faedah daripada barang yang diserahkan kepadanya untuk gadaian dengan izin penggadai lebih diberi tumpuan, ini kerana kebanyakkan permasalahan timbul dalam situasi ini dan kebanyakan ulama berbeza pendapat dalam menyelesaikan permasalahan ini. Pandangan ini telah disepakati oleh kebanyakan para fuqaha’. Dimana penerima gadaian tidak berhak menggunakannya tanpa izin dari pemiliknya sekiranya barang gadaian tersebut bukan daripada jenis yang boleh diperah susunya atau boleh ditunggangi[8]. Hukum yang berbeza sedikit bagi barang gadaian yang boleh menghasilkan sesuatu (contohnya haiwan yang mengeluarkan susu) dan boleh ditunggang (contohnya kuda, kereta dan sebagainya).

Para ulama berselisih pandangan kepada tiga pandangan berbeza mengenai masalah sekiranya penggadai membenarkan penerima gadaian menggunakan barang gadaian tersebut iaitu mengambil faedah daripadanya, iaitu:

       I.            Pandangan yang melarang pemiutang atau penerima gadaian tersebut menggunakannya secara mutlak.

Pandangan ini dipelopori oleh sebahagian ulama mazhab Hanafi, satu pandangan yang lebih terkenal dalam mazhab Shafie dan Imam Ahmad bin Hanbal. (Maksud menggunakan barang gadaian adalah seumpama sewa secara percuma. Penggunaan adalah sesuatu yang mempunyai nilai wang. Oleh itu, meletakkan syarat pemberian manfacah adalah riba kerana penghutang terpaksa membayar hutang secara penuh dan menyerahkan barang gadaian untuk digunakan pada masa yang sama, iaitu penghutang membayar hutangnya dengan cara bayaran pinjaman dan penggunaan barang secara percuma. Dalam hal ini, berlaku padanya kaedah kull qard jarra naf’an fahuwa riba iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah atau manfaat daripada pinjaman tersebut maka ia adalah riba. Pemiutang mengambil faedah menggunakan barang hasil daripada pemberian hutang kepada pemilik barang gadaian.

    II.            Pandangan yang membenarkan pemiutang atau penerima gadaian menggunakannya secara mutlak.
Pandangan ini dipelopori sebahagian kecil ulama mazhab Hanafi dan mazhab syiah Jaffariyyah. Mereka berhujah bahawa seseorang itu bebas menyedekahkan penggunaan barangnya kepada sesiapa yang disukai berdasarkan kepada Hadith:

“Tidak halal (mengunakan atau mengambil harta seseorang muslim kecuali dia mengizinkannya” (Riwayat Ibnu Hibban)

Menurut mereka, seseorang itu bebas dan berhak meminjamkan barang gadaiannya sama ada kepada penerima gadaian atau bukan penerima gadaian. Namun pentafsiran tersebut ditolak oleh para ulama kerana Hadith tersebut bukanlah umum sebegitu. Sebaliknya ia terikat kepada perkara yang tidak membawa kepada perkara haram umpamanya mewujudkan riba. Manakala penggunaan kaedah qiyas iaitu mengiaskan (qiyas usuli) seseorang itu bebas menyedekahkan penggunaan sesuatu barang pada sesiapapun sebagaimana dalam Al-Rahnu, dengan kebebasan yang dinyatakan dalam hadith, merupakan qiyas yang batil. Qiyas ini menurut istilah ulama usul fekah ialah qiyas maca alfariq iaitu mengiaskan sesuatu perkara kepada sesuatu yang berbeza, kerana kalau tidak kerana pinjaman nescaya pemilik barang tersebut akan melarikan barangnya dan tidak meminjamkan kepada penerima gadaian.[9]

 III.             Pandangan yang membenarkan penerima gadaian menggunakan barang gadaian sekiranya penggadai mengizinkannya dengan syarat hak yang dituntut bukannya hak yang terhasil daripada pinjaman wang tunai (termasuk emas dan perak).
Sebaliknya ia adalah hak ke atas hutang daripada pertukaran barang seperti jual beli. Dalam keadaan tersebut, ia dibenarkan sekiranya ditentukan tempoh penggunaan barang gadaian tersebut. Syariat Islam membezakan berhutang melalui urusan jual beli dan meminjam wang tunai. Contohnya, seseorang membeli rumah dengan cara berhutang. Ia menggadaikan tanahnya untuk berhutang. Dalam kontrak tersebut, ia membenarkan penerima gadaian menggunakan tanahnya tersebut untuk sesuatu tempoh tertentu. Kontrak ini dibenarkan mengikut pandangan yang dipelopori oleh para ulama mazhab Maliki, sebahagian ulama mazhab Shafie dan mazhab Hambali. Mereka mensyaratkan hutang tersebut adalah hutang jual beli dan bukan dari pinjaman wang tunai. Pinjaman wang tunai mempunyai beberapa peraturan yang ketat untuk mengelakkan riba. Kaedahnya riba pinjaman wang tunai ialah sebarang pembayaran lebih terhadap kadar asal sama ada berbentuk wang tunai atau penggunaan barang adalah riba. Ia berdasarkan kaedah “kull qard jarra nafcan fahuwa riba” iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah darinya maka ia adalah riba. Justeru mereka membenarkan penggunaan barang oleh penerima gadaian (yang juga pemiutang dan pemegang barang gadaian tersebut) pada hutang yang terhasil daripada jual beli.

Terdapat dua bentuk bayaran untuk jual beli secara hutang. Umpamanya, seseorang yang membeli rumah dengan harga RM100,000 secara hutang dengan bank. Ia menggadaikan tanahnya untuk berhutang. Dalam kontrak ini, ia mengizinkan penerima gadaian iaitu bank menggunakan tanahnya untuk tempoh setahun. Pada transaksi ini, harga rumah yang dibeli oleh penghutang (yang juga penggadai) dibayar dalam dua bentuk iaitu seratus ribu ringgit dan sewa tanah selama setahun. Oleh itu, menurut Ibnu Qudamah  dan al- San’ani, tujuan mereka mensyaratkan penetapan tempoh penggunaan adalah supaya tidak timbul persoalan ketidaktentuan pada harga (jahalah). Bentuk ini membuktikan bahawa ulama-ulama muktabar amat berhati-hati pada permasalahan riba. Sebarang bayaran lebih daripada pinjaman wang tunai yang diberi dengan menggunakan nama sedekah, upah, hadiah adalah riba. Pandangan ini adalah berdasarkan kaedah kull qard jarra nafcan fahuwa riba iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah daripadanya maka ia adalah riba. Kalau tidak kerana pinjaman nescaya penghutang tidak akan memberikan upah, hadiah atau sedekah tersebut. Para sarjana Islam membenarkan pengambilan bayaran kos pentadbiran dengan syarat kos tersebut adalah kos sebenar pentadbiran tersebut dan bukannya sebagai satu alasan untuk mengambil keuntungan dengan meletakkan kadar yang melebihi kos sebenar pentadbiran.


KELEBIHAN PAJAK GADAI ISLAM (AR-RAHNU).

Diantara kelebihan utama dalam Ar-rahnu dengan pajak gadai yang lain adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Ini kerana keuntungan dalam Ar-Rahnu tidak diambil daripada pinjaman secara langsung sebaliknya mengambil manfaat daripada peminjaman dan penerimaan barang. Faedah tersebut terbit daripada kontrak baru yang diwujudkan iaitu kontrak upah simpan. Kontrak upah adalah satu kontrak yang wujud dan halal dalam perundangan Islam, tidak sepertimana sistem pajak gadai konvensional yang mengambil keuntungan dari faedah bergantung pada nilai pinjaman yang dilakukan ini dapat dilihat dalam syarat gadaian konvensional yang menetapkan bahawasanya penghutang mesti membayar faedah atau bunga pada kadar 2% sebulan ke atas jumlah pinjaman.
Syarat ini bertentangan dengan perundangan Islam secara langsung yang tidak membenarkan penambahan kepada kadar asal pinjaman berdasarkan tempoh masa sebagaimana ketetapan yang dibuat oleh Majlis Penyelidikan Islam dalam persidangannya yang kedua pada tahun 1965. Ia menyatakan bahawa segala jenis faedah ke atas semua jenis pinjaman adalah riba yang diharamkan oleh perundangan Islam. Kaedah ini nyata sekali haram disisi islam kerana ia dilihat member keuntungan hanya pada satu pihak saja dan satu pihak lagi tertindas, firman Allah yang bermaksud:

“padahal Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”. (surah Al-Baqarah 2:275)

Dalam Ar-Rahnu juga penggadai tidak perlu bimbang akan nilai gadaiannya kerana dalam Ar-Rahnu kadar nilai barang gadaian dijamin tidak akan merosot apabila ingin ditebus semula ianya akan tetap dengan harga asal sepertimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak ketika berakad dan  tidak akan berlaku sebarang masalah di mana barang kemas seperti rantai emas apabila ditebus didapati kurang berat atau pendek sedikit daripada sebelum digadai.
 
Disamping itu penggadai tidak perlu bimbang akan keselamatan barang gadaiannya, kerana  barang yang berada dalam simpanan pemegang gadaian akan dijamin keselamatannya . Di mana, penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian dan jika apa–apa yang tidak diingini berlaku terhadap barang gadaian tersebut samada hilang ataupun rosak pihak pemegang gadaian akan bertanggungjawab keatas apa yang terjadi keatas barang gadaian itu iaitu dengan membayar gantirugi kepada pihak penggadai. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan masalah pemeliharaan dan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian.

Dan jika sekiranya pihak yang menggadai tidak mampu menjelaskan hutangnya pada masa yang ditetapkan iaitu tamatnya tempoh perjanjian maka pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual bagi melangsaikan hutangnya yang tertangguh itu, Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan, hal ini berlaku kerana nilai gadaian adalah jauh lebih tinggi daripada nilai hutang tersebut.

Selain itu juga Ar-Rahnu mengenakan caj perkhidmatan yang rendah terhapap penggunanya. Ini dapat dilihat dalam aspek pengurusan di Ar-Rahnu yang hanya melibatkan kos dan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan Pajak Gadai Konvensional. Pajak Gadai Konvesional menawarkan caj perkhidmatan yang tinggi dan ada juga sebilangan pemegang  Pajak Gadai Konvensional yang menerima atau meminta wang pendahuluan dari penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.

Pemberi gadaian juga tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. Ini kerana, dalam Ar-Rahnu tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan semasa timbangan dibuat dan nilai timbangan yang jelas akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian. Ini kerana sebarang bentuk penipuan yang dilakukan adalah haram disisi islam.
Firman Allah swt yang bermaksud:

 " Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang mengurangkan (sukatan dan timbangan) iaitu orang-orangayang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka minmta patuhi . Dan apabila mereka mnyukat atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangkannya".
(surah Al-Muttaffifin: 1-3)


Rasulullah saw bersabda ynag bermaksud:

 "Lima (dibalas) dengan lima. Mereka sahabat bertanya: Apaah lima (dibalas) dengan lima , Hai Rasulullah? Rasullulah menjawab; satu kaum tidak membatalkan perjanjian melainkan Allah (membenarkan) musuh menguasai mereka. Mereka tidaklah memutuskan perkara dengan selain apa yang telah diturunkan Allah, melainkan merebak kepapaan dalam kalangan mereka. Tiada lahir di kalangan mereka kejahatan (zina) , melainkan Allah menurunkan ta'un ke atas mereka, yakni banyak kematian. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan, melainkan mereka ditahan dari tumbuh-tumbuhan (tanaman tidak menjadi) dan mereka ditimpa kemarau dan kelaparan. Dan tiadalah mereka menahan zakat (tidak mengeluarkan zakat) melainkan mereka tidak mendapat hujan". (Riwayat At-Tabrani)

Ar-Rahnu juga merupakan sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannnya berkaitan dengan tempoh membayar balik wang pinjaman yang telah dipinjam. Tempoh membayar balik yang dikenakan adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak. Tidak seperti sesetengah Pajak Gadai Konvensional yang kadangkala meminta wang tambahan daripada pemberi gadaian sekiranya pemberi gadaian ingin melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman mereka ini ternyata membebankan pihak yang berhutang, sedangkan
dalam islam melarang sebarang penindasan yang berlaku.

Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan ini berlaku kerana tempoh masa membayar balik untuk mereka telah tamat. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan. Ini bertepatan dengan perundangan Islam kerana ia adalah sebahagian daripada kesan atau natijah kontrak gadaian tersebut.

Ar-Rahnu turut menitik beratkan soal penentuan nilai gadaian yang sepatutnya. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai
contohnya ialah kadar hutang yang ditetetapkan oleh penggadai  hendaklah bersamaan dengan 50% atau 60% daripada nilai barang gadaian (barang kemas emas). Syarat ini berkaitan dengan mensyaratkan kadar tertentu untuk hutang berdasarkan nilai barang gadaian. Para ulama membenarkan meletakkan syarat yang tidak bertentangan dengan maksud kontrak dan tidak memberi mudarat kepada salah satu daripada dua pihak yang berkontrak. Bahkan mereka bersepakat membenarkan kadar hutang sama ada bersamaan atau melebihi atau kurang daripada nilaian barang gadaian. Tidak seperti kedai Pajak Gadai Konvensional yang memberi kadar pinjaman berdasarkan rundingan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak tanpa mengambil kira nilai barang gadaian yang digadaikan. Ia berlaku kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara atau kriteria untuk menilai gadaian berkenaan berbeza dengan pajak Ar-Rahnu dimana nilai taranya telah ditetapkan.


PERBEZAAN AL-RANHU DENGAN KEDAI PAJAK KONVESIONAL

Perbezaan yang ketara diantara kedua-duanya terletak kepada perjanjian pinjaman dan pembiayaan yang dikaitkan dengan sesuatu gadaian. Ini dapat dilihat dalam perjanjian Al-Rahnu, pembiayaan yang dikaitkan dengan gadaian tidak akan dikenakan kadar faedah yang dianggap riba. Pinjaman yang dikaitkan dengan gadaian dalam kedai pajak konvensional menjadikan kadar faedah sebagai sumber yang memberi keuntungan yang lumayan.

Selain itu, amalan Ar-Rahnu ini meletakkan tanggungjawab sosial sebagai teras kepada operasinya dan secara tidak langsung ia akan memelihara kedua belah pihak. Misalnya, sekiranya pemberi gadai tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggung apabila tamat tempoh perjanjian dan barang yang digadai terpaksa dijual, jika harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan baki tersebut mestu diserahkan kembali si pengadai. Dalam konteks ini, orang yang menerima gadai juga akan terbela haknya dengan memperolehi kembali jumlah pokok yang diberikan kepada si pengadai.


Sistem Gadaian Islam, Kelantan.

Sistem gadaian Islam, Kelantan mula beroperasi pada tahun 1992. Objektif penubuhannya adalah untuk membolehkan masyarakat setempat terutamanya di Kota Bharu mendapat kemudahan pembiayaan jangka pendek tanpa perlu membayar faedah yang berleluasa pada ketika itu yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Kemudahan seperti Al-Qard dan Wadiah Yad Dhamanah serta Ar-Rahnu pula merupakan produk terawal di perkenalkan.

Pembiayaan berteraskan Wadiah Yad Dhamanah bermakna institusi Al-Rahnu menyimpan sejumlah wang dengan pelanggannya yang menjamin bertanggungjawab atas risiko yang timbul atas wang tersebut dan berhak mendapat keuntungan daripada penggunaan wang tersebut. Institusi Al-Rahnu pula tidak berhak mengenakan sebarang caj kepada pelanggannya atas simpanan tersebut, kerana caj sedemikian berupa kadar faedah dan jelas ia adalah haram. Pada akhir tempoh simpanan, pelanggan wajib membayar balik jumlah asal yang disimpan dengannya oleh institusi Ar-Rahnu. Semasa perjanjian ini dilakukan, Institusi Al-Rahnu akan mensyaratkan pelanggan mencagarkan barang kepunyaannya sebagai sandaran kepada pembiayaan yang diberikan. Untuk mendapat hasil daripada usaha tersebut, Institusi Al-Rahnu akan mengenakan caj rendah berbanding kadar faedah semasa dan bergantung kepada nilai barang gadaian berkaitan.


Bank Rakyat.

Pajak gadai Islam, Bank Rakyat mula dilancarkan pada tahun 1993 bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan pembiayaan jangka pendek. Sama juga halnya dengan Sistem Al-Rahnu daripada institusi yang lain, Bank Rakyat menggunakan Al-Qard dan Wadiah Yad Dhamanah serta Ar-Rahnu. Tiada sebarang caj dikenakan kepada pembiayaan wang tetapi sebaliknya mengenakan caj untuk upah menjaga barangan tersebut walaupun jumlahnya berbeza dengan kedai pajak gadai Islam yang lain.


Muasasah Gadaian Islam Terengganu.

Muasasah Gadaian Islam Terengganu mula beroperasi pada tahun 1992. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan pembiayaan jangka pendek kepada masyarakat setempat tanpa sebarang kadar faedah. Berbanding dengan Bank Rakyat dan Sistem Gadaian Islam, Kelantan yang mengunakan konsep Wadiah Yad Dhamanah untuk tujuan pembiayaan. Muasasah Gadaian Islam Terengganu sebaliknya mengunakan konsep Qardh Al Hasan (hutang tanpa caj). Ini bermakna pemberi hutang membiayaan keperluan penerima hutang tanpa mengenakan sebarang caj. Sebagai satu daripada syarat pemberian hutang ini, penerima hutang dikenakan mengadai barang kepunyaannya sebagai sandaran kepada hutang yang diterima. Pada akhir tempoh hutangnya tanpa sebarang caj tambahan.


PERSEPSI PELANGAN TERHADAP AL-RAHNU.

Daripada beberapa kajian yang telah dibuat maka dapat dirumuskan disini,

1.      Pelanggan Muslim lebih cenderung kepada Ar-Rahnu apabila melihat ia bebeas daripada riba dan mengikut kehendak syara. Majoriti negeri penduduknya Islam menyokong aplikasi Ar-Rahnu dalam  rutin kehidupan mereka.

2.      Pelanggan Muslim dan bukan Muslim memilih Ar-Rahnu kerana merasakan institusi Al-Rahnu bertindak lebih beretika dan mementingkan tanggungjawab sosial berbanding keuntungan. Mereka juga lebih mempercayai bahawa institusi Ar-Rahnu dapat berlaku adil dan bertolak ansur dalam membantu mereka yang dalam kesusahan.

3.      Pelanggan memilih Ar-Rahnu kerana tiada kadar faedah dikenakan berbanding kedai pajak gadai konvensional yang banyak menekan para pengadai.



MASA DEPAN AR-RAHNU DI MALAYSIA.

Pembiayaan modal jangka pendek amat diperlukan oleh perniaga-perniaga kecil di dalam usaha mencari sumber pendapatan hidup. Ini membolehkan mereka menggunakannya sebagai modal pusingan bagi keperluan perniagaan masing-masing. Kelebihan Ar-Rahnu pada pihak perniaga ia bersifat mudah dan telus. Dalam situasi dunia hari ini, ramai orang takut menjadi penjamin dan perkara ini sudah tentu menyukarkan pihak-pihak terlibat untuk mencari pembiayaan. Dengan hanya meletakkan barang gadaian sebagai cagaran ia dapat mengelakkan para pelanggan terjerumus dengan bebanan hutang yang banyak melebihi keupayaan mereka membayar balik hutang tersebut. Ar-Rahnu juga adalah cukup menguntungkan kerana kelebihan utamanya menjamin bahawa setiap hutang pelangan akan dibayar balik. Ini membolehkan institusi Ar-Rahnu berkembang pesat dan tidak timbul masalah keraguan bayaran balik oleh pelanggan. Dengan kecenderungan masyarakat muslim di Malaysia untuk merealisasikan perniagaan mengikut syariat Islam, ditambah pula dengan kelebihan skim Ar-Rahnu, skim ini dijangka akan menjadi instrumen pembiayaan jangka pendek paling laris di Malaysia.



KESIMPULAN.

Sistem gadaian  untuk mendapatkan wang telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. apabila Baginda pernah membeli makanan daripada orang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya, menurut satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Konsep Ar-Rahnu menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan dan membantu masyarakat tanpa mengira batas agama dan keturunan. Selain itu, ia dapat mengelakkan penglibatan umat Islam dengan transaksi perdagangan yang berunsur negatif. Islam menghalalkan gadaian kerana ia berupaya meningkatkan taraf sosial dan keadilan dalam masyarakat. Selain daripada itu, ia dapat mengembangkan lagi potensi perniagaan umat Islam serta menggalakan mereka mencari rezeki yang halal lagi berkat. Konsep ini juga mampu mengurangkan beban orang yang dalam kesusahan dalam keadaan terdesak serta mengelakkan berlakunya keruntuhan sosial dalam institusi masyarakat seperti meminjam daripada along dan lintah darat.  Tidak akan berlaku sebarang penipuan dalam transaksi ini kerana setiap pelanggan yang berurusniaga dengan sistem ini akan diberikan penjelasan yang terang dan nyata melalui dokumen perjanjian yang di persetujui secara bersama. Dokumen tersebut adalah sebahagian daripada terma-terma perjanjian yang akan dikuatkuasakan oleh kedua-dua belah pihak. Allah s.w.t. berfirman bermaksud:
“Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Al-Baqarah: 283)
Bertepatan dengan ayat diatas segala urusniaga haruslah ditulis kerana ia mempunyai mempunyai bukti yang jelas dan kuat. Dalam Islam telah termaktub sistem yang sempurna dan praktikal untuk dilaksanakan oleh umatnya bagi mengelakkan berlakunya riba dan unsur-unsur gharar (penipuan). Unsur-unsur ini boleh dielakkan apabila kita mempunyai instrumen kewangan Islam serta menggunakannya secara berkesan dan efesien.
Sebagaimana institusi kewangan Islam yang lain seperti takaful dan Bank Islam, skim Ar-Rahnu bertujuan untuk mengelakkan umat Islam daripada terlibat dengan amalan riba dan ketidakadilan dalam sistem pajak gadai konvensional. Dari segi ekonomi, skim ini menjadi platform untuk mendapatkan modal segera dalam perniagaan barang-barang runcit serta mengelakkan menopoli barangan oleh sesebuah pihak sahaja yang akhirnya mengakibatkan peningkatan harga.

Tidak dinafikan, masih ada skim Ar-Rahnu mempunyai mengandungi unsur-unsur riba dalam transaksinya. Bagaimanapun, skim al-rahnu ini mempunyai manfaatnya, jika dibandingkan dengan transaksi konvensional. Oleh itu, usaha ke arah menghilangkan syubhat riba perlu dilakukan . Menjadi tanggungjawab umat Islam yang berkelayakkan dan berkemampuan untuk mengubah situasi ini. Semoga sistem ekonomi yang berteras Al-Quran dan As-sunnah ini akan terus berkembang dan membangun sejajar dengan arus pembangunan negara.












Senarai Rujukan.

1.      Ghazali S.M. Nasri M. Hanafiah M.H. (2009). Pengantar Perniagaan Islam.  Prentice Hall. Kuala Lumpur.
2.      Nor Mohamed Yakcop. 1996. Teori, amalan dan prospek sistem kewangan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
3.      Perjanjian Gadaian Pusat al-Rahn. 1999. Kuantan: Persatuan Pengguna Islam Pahang.
4.      Wahbah al-Zuhayly. 1987. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Jld. 5. Beirut: Dar al-Fikr.
5.      Al-Faruz Abadi, Majduddin Muhammad bin Ya’qub. (1997). al-Qamus al-Muhit. Jld. 2. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi.
6.      al-Kawakibi, Muhammad Hassan Ahmad. 1324H. al-Fawaid al-Samiyyah fi Syarh al- Nuzum al-Musamma bi al-Faraid al-Sunniyyah. Mesir: al-Matbacah al-Kubra al-Amiriyyah.
7.      Muhammad Uthman Syubayr. 1996. Masail al-Fiqh al-Muqaran. Amman: Dar al-Nafais.

Jurnal
1.      Asmadi Mohamed Naim. (2004). Sistem Gadaian Islam. ISLAMIYYAT.Vol. 26(2) ,
pp 39 - 57 39.
2.      Sehan, M. A. (2004). Isu-isu dalam Perlaksanaan Pajak Gadai Islam di Negara Serantau. Kertas kerja di “Konvensyen Ar-rahnu Serantau” on 12th – 13th October: Kuala Lumpur.

Laman Sesawang.
2.      Bernama. (2008). Bank Rakyat Aims to Open up 15 Ar-Rahnu Branches in 3 Years. Kuala Lumpur. Diakses : http://www.bernama.com/finance/news.php?id=333396.
3.      Selamah Binti Maamor. Abdul Ghafar Ismail. The Ar-Rahnu Efficiency and Its Determinants. Diakses: http://www.ibtra.com/pdf/journal/v6_n1_article4.pdf pada 16/3/2011







[1] al-Qamus al-Muhit.( al-Faruz, Abadi)……………….Jilid 2:1570
[2] Manh al-Jalil. (Muhammad Ulaisy)………………….Jilid 5: 56-57
[3] al-Qamus al-Fiqhi (sa’di Abu Jaib)……….......................m/s 171
[4] http://www.emasedinar.com/ar-rahnu
[5] al-Fawaid al-Samiyyah………….al-Kawakibi 1324H: 109; al-Qadiri t.th., 8: 231


.[6] al-Taj al-Madzhab.( al-San’ani)……………………….Jilid 3: 236

[7] Takmilah Fath al-Qadir. (Qadi Zadah Afandi ………  Jilid 1: 101

[8] Masail al-Fiqh al-Muqaran (Muhammad Uthman Shubayr)……Jilid 4: 236
[9] al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Wahbah al-Zuhayly) ……….Jilid 5: 257).

2 comments:

  1. pplikasi kalkulator Ar Rahnu percuma untuk android atau tablet , handphone pon boleh guna . https://play.google.com/store/apps/details?id=com.mobincube.android.sc_R3ZLB

    kalau tak ada android boleh terus ke website calculator ini http://kalkulator-ar-rahnu.blogspot.com/

    semua percuma , utk rakyat malaysia . sokong applikasi bahasa melayu . TQ TT

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum,
    thank you for sharing informative details on rahnu . really appreciate the effort but I'll appreciate it even more if you can fix the colour of the background using colours that will allow readers to read the information clearer thus gain more benefits.
    Thank you =)

    ReplyDelete