Sunday, November 20, 2011

Mudharabah

 MUDARABAH
1.0 Pengenalan
Allah menciptakan manusia makhluk yang berinteraksi sosial dan saling memerlukan antara satu sama lainnya. Ada yang memiliki kelebihan harta namun tidak memiliki waktu dan keahlian dalam mengelola dan mengembangkannya, ada juga yang memiliki kemahiran dan kemampuan namun tidak memiliki modal. Dengan berkumpulnya dua jenis orang ini diharapkan dapat saling melengkapi dan mempermudah pengembangan harta dan kemampuan tersebut. Untuk itulah Islam memperbolehkan syarikat dalam usaha diantaranya Al Mudharabah. Terdapat pelbagai isu-isu syariah dalam kewangan Islam contohnya isu yang terdapat dalam kontrak mudarabah. Isu-isu ini perlu dibincangkan bagi membuat keputusan. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan tahap ketelusan berhubung dengan pertimbangan perundangan fiqah dalam kewangan Islam, yang seterusnya akan meningkatkan kesedaran dan penerimaan terhadap keputusan-keputusan Syariah. Ia juga akan menjadikan urus tadbir Syariah lebih cekap di peringkat institusi di samping menjadi pemangkin bagi pengharmonian pentafsiran dan aplikasi Syariah merentas sempadan yang lebih luas.






2.0 Definisi
Mudarabah merupakan kontrak antara dua pihak bagi menjalankan sesuatu usaha niaga. Ia melibatkan rabbul mal  selaku pelabur yang menyediakan modal dan mudarib selaku pengusaha yang menjalankan usaha niaga tersebut. Keuntungan yang terhasil daripada usaha niaga tersebut akan dikongsi antara pelabur dan pengusaha berdasarkan syarat nisbah yang dipersetujui, manakala kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh pelabur. Kontrak mudarabah biasanya digunakan dalam akaun semasa, akaun simpanan, akaun pelaburan, pelaburan antara pihak bank, terbitan sekuriti dan juga dana takaful.
3.0 ISU-ISU YANG WUJUD DALAM KONTRAK MUDARABAH
3.1 Instrumen Deposit Boleh Niaga secara Islam Berasaskan Mudarabah dengan Berkadar Terapung
IDBN merupakan instrumen pasaran wang yang distrukturkan berasaskan kontrak mudarabah dengan kadar keuntungan boleh ubah (terapung), bergantung kepada jumlah dividen yang diumumkan oleh institusi kewangan Islam dari semasa ke semasa. Ia boleh diniagakan dalam pasaran sekunder bagi meningkatkan mudah tunainya. Dalam IDBN, pelbur akan mendeposit sejumlah wang ke dalam institusi kewangan Islam yang menerbitkan IDBN, dan institusi kewangan Islam selaku pengusaha akan mengeluarkan sijil IDBN kepada pelabur sebagai bukti penerimaan deposit berkenaan. Pada tarikh matang, pelabur akan menyerahkan semula IDBN kepada institusi kewangan Islam dan menerima nilai prinsipal IDBN beserta dividen yang diumumkan.

3.2 Kos Penyelengaraan dalam Akaun Deposit Mudarabah
Majlis Penasihat Syariah telah memutuskan bahawa institusi kewangan Islam tidak boleh mengenakan sebarang caj kos penyelenggaraan ke atas pendeposit bagi akaun deposit mudarabah. Sekiranya institusi kewangan Islam memerlukan amaun tambahan bagi menampung kos penyelenggaraan, ia sepatutnya diambil kira dalam penentuan nisbah perkongsian keuntungan yang dimeterai anatara kedua pihak. Pengurus dana perlu menguruskan sendiri pekerjaan yang berkaitan dengan pelaburan yang sepatutnya dilakukan olehnya berdasarkan ‘urf. Pengurus dana tidak berhak mengenakan sebarang fi ke atas perkhidmatan atau kos penyelenggaran tidak langsung kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai mudarib.
3.3 Urus Niaga Harian (Inta-Day Tracsaction) sebagai Satu Instrumen Pasaran Wang Secara Islam
Urus niaga harian merujuk kepada pelaburan dana secara mudarabah dengan tarikh matang dan penyelesaiannya berlaku pada hari yang sama. Kaedah urus niaga harian adalah sama seperti Pelaburan Mudarabah antara Bank. Perbezaanya adalah tempoh matang, iaitu Pelaburan Mudarabah antara Bank melibatkan tempoh matang antara semalaman (overnight) sehingga setahun, manakala urus niaga harian melibatkan tempoh matang yang singkat iaitu antara pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang pada hari yang sama. Kontrak mudarabah dalam urus niaga harian boleh dilaksanakan walaupun tempoh matangnya adalah singkat. Ini kerana sistem elektronik dan teknologi maklumat pada masa kini adalah efisien. Oleh itu, sesuatu dana yang diterima akan dapat digunakan untuk menjana keuntungan melalui sesuatu urus niaga dengan pantas.


3.4 Penggunaan Kontrak Mudarabah dalam Produk Akaun Semasa
Akaun semasa mudarabah berbeza dengan akaun semasa yang berasaskan kontrak Wadi’ah dari segi pembahagian keuntungan atau dividen kepada pelanggan. Akaun semasa Mudarabah ini memberi hak kepada pelanggan untuk mendapat sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang dipersetujui semasa akaun dibuka. Pengeluaran deposit yang dibuat pada bila-bila masa boleh dilakukan bagi akaun semasa  yang berasaskan mudarabah. Ini kerana keperluan had baki minimum tertentu  dalam akaun semasa ini menjadikan syarat wujudnya modal mudarabah dipenuhi. Tetapi jika pendeposit mengeluarkan kesemua amaun deposit, kontrak mudarabah dianggap tamat kerana pengeluaran keseluruhan amaun deposit dilihat sebagai tindakan rabbul mal menarik mandat pengurusan modal.
3.5 Sijil Pelaburan Mudarabah sebagai Subjek Gadaian
Sijil Pelaburan Mudarabah boleh diniagakan dan boleh digunakan sebagai cagaran atau subjek gadaian. Sijil Pelaburan Mudarabah juga boleh digunakan sebagai cagaran bagi pembiayaan secara Islam tetapi tidak boleh digunakan sebagai cagaran bagi pembiayaan konvesional. Sekiranya sijil ini digunakan oleh pelanggan sebagai cagaran bagi pembiayaan secara konvesional, ia menjadi tanggungjawab pelanggan itu sendiri dan diluar tanggungan institusi kewangan Islam. Keharusan penggunaan Sijil Pelaburan Mudarabah sebagai subjek gadaian adalah berdasarkan pertimbangan bahawa kontrak mudarabah dan rahn merupakan dua kontrak yang berbeza dan berasingan. Penggunaan modal mudarabah oleh institusi kewangan Islam bagi tujuan pelaburan adalah berdasarkan kontrak rahn. Oleh itu, tidak timbul isu tentang institusi kewangan Islam perlu menjamin nilai aset gadaian tersebut. Situasi ini dilihat seperti menyamai penggunaan sijil saham sebagai aset gadaian iaitu penerima gadai tidak semestinya perlu menjamin nilai pasaran bagi saham yang digadai kepadanya. Sijil Pelaburan Mudarabah juga merupakan aset yang mempunyai nilai (value). Sehubungan dengan itu, ia boleh dijual beli dan dijadikan sebagai subjek gadaian.
3.6 Amalan Institusi Kewangan Islam Mengalihkan Keuntungan Pelaburan Mudarabah kepada Pelanggan untuk Mengelakkan Risiko Komersial Teralih
Dalam konteks akaun pelaburan mudarabah, institusi kewangan Islam akan memindahkan sebahagian daripada keuntungan mereka kepada pelanggan untuk mengelakkan risiko komersial teralih supaya pulangan yang diisytiharkan adalah kompetitif dengan kadar pulangan pasaran semasa. Amalan memindahkan sebahagian keuntungan ini diharuskan kerana ia dilaksanakan oleh institusi kewangan Islam tanpa menjejaskan hak pelanggan. Pelanggan juga akan mendapat keuntungan yang lebih berbanding dengan nisbah pembahagian keuntungan asal yang dipersetujui. Keuntungan dalam akad mudarabah ialah hak eksklusif pihak-pihak yang berakad. Persetujuan bersama untuk menyemak nisbah perkongsian keuntungan tidak menyebabkan mana-mana pihak sama ada mudarib atau rabbul mal kehilangan hak keatas keuntungan. Keuntungan adalah kekal menjadi hak kedua-duanya dan dikongsi antara mereka.
3.7 Jaminan Ketiga Pihak Ketiga ke atas Liabiliti Pihak yang Berurusan dengan Mudarib bagi Usaha Niaga Mudarabah
Jaminan modal dan prestasi oleh pihak ketiga keatas liabiliti pihak yang berurusan dengan mudarib bagi urus niaga mudarabah yang dijalankan dibenarkan berdasarkan pertimbangan bahawa jaminan yang dibuat oleh pihak ketiga adalah selari dengan keharusan kontrak kafalah. Jaminan oleh pihak ketiga boleh dilakukan menerusi dua pendekatan berbeza iaitu:
        i.            Jaminan tanpa tuntutan semula atau rekursa (recourse):
Dilakukan secara tabarru’ oleh pihak ketiga yang tidak terlibat atau mempunyai kaitan dengan mudarib. Penjamin tidak menuntut kembali daripada mudarib jumlah jaminan yang perlu dibayar kepada rabbul mal. Tiada halangan dari segi hukum syarak untuk satu pihak mengeluarkan sejumlah harta bagi tujuan tabarru’. Jika tabarru’ disandarkan pada syarat yang tertentu, maka pemberi tabarru’ melaksanakan pemberiannya apabila syarat tersebut telah wujud.
      ii.            Jaminan dengan tuntutan semula / rekursa:
Pihak ketiga membayar nilai jaminan dan menuntut kembali daripada mudarib jumlah jaminan dibayar kepada rabbul mal. Jumlah bayaran tersebut merupakan hutang mudarib kepada penjamin.
3.8 Jaminan Mudarib ke atas Liabiliti Pihak yang Berurusan dengannya dalam Usaha Niaga Mudarabah
Pihak mudarib tidak boleh menjamin liabiliti pihak lain yang berurusan dengannya bagi memastikan pulangan modal dan keuntungan terjamin. Jaminan mudarib terhadap prestasi pihak ketiga dalam urus niaga berkaitan usaha niaga mudarabah yang diuruskannya akan menjadikan mudarib sebagai penjamin modal mudarabagh tersebut. Kecuaian  mudarib dalam berurusan dengan pihak ketiga berkaitan modal mudarabah akan menyebabkan mudarib tersebut bertanggungjawab keatas kerugian yang timbul dan bukannya pihak ketiga. Ini kerana mudarib bertanggungjawab untuk menggunakan segala kepakarannya dalam megurus dana mudarabah.



3.9 Sumbangan Modal Mudarib dalam Usaha Niaga Mudarabah
Sumbangan modal oleh mudarib dalam dana uasaha niaga muadarabah adalah dibenarkan. Sumbangan modal tersebut adalah sah dan mengambil hukum musyarakah. Perkongsian untung dan rugi mestilah dibuat mengikut prinsip musyarakah terlebih dahulu, dan diikuti pembahagian keuntungan berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang dipersetujui dalam kontrak mudarabah. Tiada halangan jika rabbul mal mencampurkan modal sesama mereka dan juga bersama modal mudarib sendiri kerana ia adalah berasakan persetujuan antara mereka. Jika mudarib mencapurkan dananya sendiri dengan modal mudarabah, ia dikira sebagai rakan kongsi (musyarik) dalam konteks dana yang disumbangkan. Pada masa yang sama dia juga merupakan mudarib kepada modal yang disumbangkan oleh rabbul mal. Mudarib akan mengambil bahagian keuntungan daripada sumbangan modalnya. Keuntungan daripada modal mudarabah yang disumbangkan oleh rabbul mal akan dibahagikan antara rabbul mal dan mudarib berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang dipersetujui.

3.10 Jaminan Pihak Ketiga ke atas Modal dan Keuntungan dalam Urus Niaga Mudarabah
Jaminan pihak ketiga keatas modal dan keuntungan dijangka dalam urus niaga mudarabah adalah dibenarkan dengan syarat pihak ketiga yang beriltizam untuk memberi jaminan mestilah merupakan pihak ketiga yang bebas serta tidak mempunyai kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan mudarib. Sekiranya pihak ketiga yang menjamin boleh menuntut semula amaun yang dijamin daripada penerbit sukuk jika berlaku kerugian, tau pihak ketiga yang menjamin mengenakan caj fi untuk jaminan yang diberikan, pihak penjamin diklasifikasikan sebagai pihak ketiga yang terikat atau tidak bebas dan tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.


4.0 Kesimpulan
Dengan terjawabnya isu-isu ini, dapat  membuktikan keupayaan para ulama dan penasihat Syariah dalam memanfaatkan kepakaran Syariah mereka dalam membantu penstrukturan ciri-ciri produk yang kompetitif dan inovatif. usaha telah dipergiatkan lagi untuk memperkukuh urus tadbir Syariah institusi kewangan Islam di pelbagai negara. Walaupun kewangan Islam telah menunjukkan daya tahan sewaktu berlakunya krisis kewangan global baru-baru ini, usaha terus dilaksanakan bagi memperkukuh lagi infrastruktur kewangan antarabangsa dan pengawasan pengawalseliaan terhadap kewangan Islam. Ini bagi memastikan kewangan Islam terus berkesan dan berdaya saing dalam persekitaran kewangan antarabangsa yang semakin mencabar. Kesemua inisiatif ini telah menyumbang kepada perkembangan pesat produk dan perkhidmatan yang lebih kontemporari.

No comments:

Post a Comment