Powered By Blogger

Tuesday, October 22, 2013

KERACUNAN MAKANAN

Keracunan makanan merupakan satu wabak yang berbahaya. Keracunan makanan juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Baru-baru ini, akhbar dan media-media massa memaparkan kes keracunan makanan yang dialami oleh beberapa penduduk kampung di sekitar Jerai dan Yan di negeri Kedah. Mereka mengalami keracunan makanan sejurus selepas menjamu selera di satu majlis perkahwinan. Tiga orang daripada mangsa keracunan makanan telah meninggal dunia akibat tidak mendapatkan rawatan segera. Ketiga-tiga mangsa gagal mendapatkan rawatan segera menyebabkan mereka mengalami kekurangan air yang teruk.

keracunan makanan merupakan penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan dan minuman yang tercemar. Makanan dan minuman yang tercemar biasanya dijangkiti oleh kuman dan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan. Antara bakteria keracunan makan ialah Kumpulan Salmonella, Staphylocaccus Aureus, Eschericia Coli, Baccilus Cereus, Vibrio Parahaemolyticus dan Campylobacter. Selain itu, punca lain juga boleh membawa keracunan seperti bahan kimia racun serangga dan rumpai, logam berat dan tumbuhan serta hasil laut yang beracun seperti kulat dan cendawan. Kebanyakan kes-kes keracunan makanan disebabkan oleh bakteria, mikro-organisma, virus, racun atau toksin dan bahan-bahan kimia.

Keracunan makanan boleh dikenal pasti apabila terdapat tanda-tanda tertentu. Antara tanda-tanda keracunan makan ialah rasa loya, cirit birit, muntah-muntah, sakit perut, berpeluh atau deman dan sakit kepala. Kebiasaanya keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam setelah memakan makanan tercemar. Kesan bahaya akibat keracunan makanan adalah kehilangan air dalam badan. sekiranya tubuh kekurangan air dengan serius, ia boleh membawa maut. Ia juga boleh mengakibatkan keracunan sistem saraf yang boleh menyebabkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi-sendi yang berpanjangan (kronik).

Langkah-langkah berjaga-jaga mestilah diamalkan supaya dapat mengelakkan diri daripada mengalami keracunan. Kebersihan perlu dijaga sepanjang masa supaya diri sentiasa berada dalam keadaan bersih. Tangan perlu dibasuh dengan bersih apabila keluar dari tandas dan sebelum menyentuh makanan. Memastikan dapur dan tempat untuk meletakkan makanan adalah bersih. Makanan dan minuman perlulah dimasak dengan sempurna sebelum ia dimakan. Jika terdapat lebihan makanan, simpan makanan tersebut pada suhu yang betul. Jangan tinggalkan makanan pada suhu bilik melebihi 4 jam. Elakkan daripada makan di gerai-gerai yang kurang bersih.

Jika terdapat tanda-tanda keracunan makanan seperti cirit-birit, sakit perut atau muntah-muntah selepas memakan sesuatu makanan, segeralah pergi ke klinik yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Apabila mengalami keracunan makanan, pastikan makanan yang disyaki membawa penyakit itu tidak dimakan oleh orang lain. Jika terdapat ahli keluarga mengalami keracunan, maklumkan dengan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah supaya pihak kesihatan dapat mengawal penyakit tersebut daripada merebak.

No comments:

Post a Comment