1.0 Pengenalan
Allah menciptakan manusia makhluk yang
berinteraksi sosial dan saling memerlukan antara satu sama lainnya. Ada yang
memiliki kelebihan harta namun tidak memiliki waktu dan keahlian dalam
mengelola dan mengembangkannya, ada juga yang memiliki kemahiran dan kemampuan
namun tidak memiliki modal. Dengan berkumpulnya dua jenis orang ini diharapkan
dapat saling melengkapi dan mempermudah pengembangan harta dan kemampuan
tersebut. Untuk itulah Islam memperbolehkan syarikat dalam usaha diantaranya Al
Mudharabah. Terdapat pelbagai isu-isu syariah dalam kewangan Islam contohnya
isu yang terdapat dalam kontrak mudarabah. Isu-isu ini perlu dibincangkan bagi
membuat keputusan. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan tahap ketelusan
berhubung dengan pertimbangan perundangan fiqah dalam kewangan Islam, yang
seterusnya akan meningkatkan kesedaran dan penerimaan terhadap
keputusan-keputusan Syariah. Ia juga akan menjadikan urus tadbir Syariah lebih
cekap di peringkat institusi di samping menjadi pemangkin bagi pengharmonian
pentafsiran dan aplikasi Syariah merentas sempadan yang lebih luas.
2.0 Definisi
Mudarabah merupakan kontrak antara dua pihak
bagi menjalankan sesuatu usaha niaga. Ia melibatkan rabbul mal selaku pelabur yang menyediakan modal dan
mudarib selaku pengusaha yang menjalankan usaha niaga tersebut. Keuntungan yang
terhasil daripada usaha niaga tersebut akan dikongsi antara pelabur dan
pengusaha berdasarkan syarat nisbah yang dipersetujui, manakala kerugian akan
ditanggung sepenuhnya oleh pelabur. Kontrak mudarabah biasanya digunakan dalam
akaun semasa, akaun simpanan, akaun pelaburan, pelaburan antara pihak bank,
terbitan sekuriti dan juga dana takaful.
3.0 ISU-ISU YANG WUJUD DALAM KONTRAK
MUDARABAH
3.1 Instrumen Deposit Boleh Niaga secara Islam
Berasaskan Mudarabah dengan Berkadar Terapung
IDBN merupakan instrumen pasaran wang yang
distrukturkan berasaskan kontrak mudarabah dengan kadar keuntungan boleh ubah
(terapung), bergantung kepada jumlah dividen yang diumumkan oleh institusi
kewangan Islam dari semasa ke semasa. Ia boleh diniagakan dalam pasaran
sekunder bagi meningkatkan mudah tunainya. Dalam IDBN, pelbur akan mendeposit
sejumlah wang ke dalam institusi kewangan Islam yang menerbitkan IDBN, dan institusi
kewangan Islam selaku pengusaha akan mengeluarkan sijil IDBN kepada pelabur
sebagai bukti penerimaan deposit berkenaan. Pada tarikh matang, pelabur akan
menyerahkan semula IDBN kepada institusi kewangan Islam dan menerima nilai
prinsipal IDBN beserta dividen yang diumumkan.
3.2 Kos Penyelengaraan dalam Akaun Deposit Mudarabah
Majlis Penasihat Syariah telah memutuskan
bahawa institusi kewangan Islam tidak boleh mengenakan sebarang caj kos
penyelenggaraan ke atas pendeposit bagi akaun deposit mudarabah. Sekiranya
institusi kewangan Islam memerlukan amaun tambahan bagi menampung kos
penyelenggaraan, ia sepatutnya diambil kira dalam penentuan nisbah perkongsian
keuntungan yang dimeterai anatara kedua pihak. Pengurus dana perlu menguruskan
sendiri pekerjaan yang berkaitan dengan pelaburan yang sepatutnya dilakukan
olehnya berdasarkan ‘urf. Pengurus dana tidak berhak mengenakan sebarang fi ke
atas perkhidmatan atau kos penyelenggaran tidak langsung kerana ia merupakan
sebahagian daripada tanggungjawab sebagai mudarib.
3.3 Urus Niaga Harian (Inta-Day
Tracsaction) sebagai Satu Instrumen Pasaran Wang Secara Islam
Urus niaga harian merujuk kepada pelaburan
dana secara mudarabah dengan tarikh matang dan penyelesaiannya berlaku pada
hari yang sama. Kaedah urus niaga harian adalah sama seperti Pelaburan
Mudarabah antara Bank. Perbezaanya adalah tempoh matang, iaitu Pelaburan
Mudarabah antara Bank melibatkan tempoh matang antara semalaman (overnight)
sehingga setahun, manakala urus niaga harian melibatkan tempoh matang yang
singkat iaitu antara pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang pada hari yang sama.
Kontrak mudarabah dalam urus niaga harian boleh dilaksanakan walaupun tempoh
matangnya adalah singkat. Ini kerana sistem elektronik dan teknologi maklumat
pada masa kini adalah efisien. Oleh itu, sesuatu dana yang diterima akan dapat
digunakan untuk menjana keuntungan melalui sesuatu urus niaga dengan pantas.
3.4 Penggunaan Kontrak Mudarabah dalam Produk Akaun
Semasa
Akaun semasa mudarabah berbeza dengan akaun semasa
yang berasaskan kontrak Wadi’ah dari segi pembahagian keuntungan atau dividen
kepada pelanggan. Akaun semasa Mudarabah ini memberi hak kepada pelanggan untuk
mendapat sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh berdasarkan nisbah
perkongsian keuntungan yang dipersetujui semasa akaun dibuka. Pengeluaran
deposit yang dibuat pada bila-bila masa boleh dilakukan bagi akaun semasa yang berasaskan mudarabah. Ini kerana
keperluan had baki minimum tertentu
dalam akaun semasa ini menjadikan syarat wujudnya modal mudarabah dipenuhi.
Tetapi jika pendeposit mengeluarkan kesemua amaun deposit, kontrak mudarabah
dianggap tamat kerana pengeluaran keseluruhan amaun deposit dilihat sebagai
tindakan rabbul mal menarik mandat pengurusan modal.
3.5 Sijil Pelaburan Mudarabah sebagai Subjek Gadaian
Sijil Pelaburan Mudarabah boleh diniagakan dan
boleh digunakan sebagai cagaran atau subjek gadaian. Sijil Pelaburan Mudarabah
juga boleh digunakan sebagai cagaran bagi pembiayaan secara Islam tetapi tidak
boleh digunakan sebagai cagaran bagi pembiayaan konvesional. Sekiranya sijil
ini digunakan oleh pelanggan sebagai cagaran bagi pembiayaan secara
konvesional, ia menjadi tanggungjawab pelanggan itu sendiri dan diluar
tanggungan institusi kewangan Islam. Keharusan penggunaan Sijil Pelaburan
Mudarabah sebagai subjek gadaian adalah berdasarkan pertimbangan bahawa kontrak
mudarabah dan rahn merupakan dua kontrak yang berbeza dan berasingan.
Penggunaan modal mudarabah oleh institusi kewangan Islam bagi tujuan pelaburan
adalah berdasarkan kontrak rahn. Oleh itu, tidak timbul isu tentang institusi kewangan
Islam perlu menjamin nilai aset gadaian tersebut. Situasi ini dilihat seperti
menyamai penggunaan sijil saham sebagai aset gadaian iaitu penerima gadai tidak
semestinya perlu menjamin nilai pasaran bagi saham yang digadai kepadanya.
Sijil Pelaburan Mudarabah juga merupakan aset yang mempunyai nilai (value).
Sehubungan dengan itu, ia boleh dijual beli dan dijadikan sebagai subjek
gadaian.
3.6 Amalan Institusi Kewangan Islam Mengalihkan
Keuntungan Pelaburan Mudarabah kepada Pelanggan untuk Mengelakkan Risiko
Komersial Teralih
Dalam konteks akaun pelaburan mudarabah,
institusi kewangan Islam akan memindahkan sebahagian daripada keuntungan mereka
kepada pelanggan untuk mengelakkan risiko komersial teralih supaya pulangan
yang diisytiharkan adalah kompetitif dengan kadar pulangan pasaran semasa.
Amalan memindahkan sebahagian keuntungan ini diharuskan kerana ia dilaksanakan
oleh institusi kewangan Islam tanpa menjejaskan hak pelanggan. Pelanggan juga
akan mendapat keuntungan yang lebih berbanding dengan nisbah pembahagian
keuntungan asal yang dipersetujui. Keuntungan dalam akad mudarabah ialah hak
eksklusif pihak-pihak yang berakad. Persetujuan bersama untuk menyemak nisbah
perkongsian keuntungan tidak menyebabkan mana-mana pihak sama ada mudarib atau
rabbul mal kehilangan hak keatas keuntungan. Keuntungan adalah kekal menjadi
hak kedua-duanya dan dikongsi antara mereka.
3.7 Jaminan Ketiga Pihak Ketiga ke atas
Liabiliti Pihak yang Berurusan dengan Mudarib bagi Usaha Niaga Mudarabah
Jaminan modal dan prestasi oleh pihak ketiga keatas liabiliti pihak yang
berurusan dengan mudarib bagi urus niaga mudarabah yang dijalankan dibenarkan
berdasarkan pertimbangan bahawa jaminan yang dibuat oleh pihak ketiga adalah
selari dengan keharusan kontrak kafalah. Jaminan oleh pihak ketiga boleh
dilakukan menerusi dua pendekatan berbeza iaitu:
i.
Jaminan tanpa tuntutan semula atau rekursa
(recourse):
Dilakukan secara tabarru’ oleh pihak ketiga
yang tidak terlibat atau mempunyai kaitan dengan mudarib. Penjamin tidak
menuntut kembali daripada mudarib jumlah jaminan yang perlu dibayar kepada
rabbul mal. Tiada halangan dari segi hukum syarak untuk satu pihak mengeluarkan
sejumlah harta bagi tujuan tabarru’. Jika tabarru’ disandarkan pada syarat yang
tertentu, maka pemberi tabarru’ melaksanakan pemberiannya apabila syarat
tersebut telah wujud.
ii.
Jaminan dengan tuntutan semula / rekursa:
Pihak ketiga membayar nilai jaminan dan
menuntut kembali daripada mudarib jumlah jaminan dibayar kepada rabbul mal.
Jumlah bayaran tersebut merupakan hutang mudarib kepada penjamin.
3.8 Jaminan Mudarib ke atas Liabiliti Pihak yang
Berurusan dengannya dalam Usaha Niaga Mudarabah
Pihak mudarib tidak boleh menjamin liabiliti pihak lain
yang berurusan dengannya bagi memastikan pulangan modal dan keuntungan
terjamin. Jaminan mudarib terhadap prestasi pihak ketiga dalam urus niaga
berkaitan usaha niaga mudarabah yang diuruskannya akan menjadikan mudarib
sebagai penjamin modal mudarabagh tersebut. Kecuaian mudarib dalam berurusan dengan pihak ketiga
berkaitan modal mudarabah akan menyebabkan mudarib tersebut bertanggungjawab
keatas kerugian yang timbul dan bukannya pihak ketiga. Ini kerana mudarib
bertanggungjawab untuk menggunakan segala kepakarannya dalam megurus dana
mudarabah.
3.9 Sumbangan Modal Mudarib dalam Usaha Niaga
Mudarabah
Sumbangan modal oleh mudarib dalam dana uasaha niaga
muadarabah adalah dibenarkan. Sumbangan modal tersebut adalah sah dan mengambil
hukum musyarakah. Perkongsian untung dan rugi mestilah dibuat mengikut prinsip
musyarakah terlebih dahulu, dan diikuti pembahagian keuntungan berdasarkan
nisbah perkongsian keuntungan yang dipersetujui dalam kontrak mudarabah. Tiada
halangan jika rabbul mal mencampurkan modal sesama mereka dan juga bersama
modal mudarib sendiri kerana ia adalah berasakan persetujuan antara mereka.
Jika mudarib mencapurkan dananya sendiri dengan modal mudarabah, ia dikira
sebagai rakan kongsi (musyarik) dalam konteks dana yang disumbangkan. Pada masa
yang sama dia juga merupakan mudarib kepada modal yang disumbangkan oleh rabbul
mal. Mudarib akan mengambil bahagian keuntungan daripada sumbangan modalnya.
Keuntungan daripada modal mudarabah yang disumbangkan oleh rabbul mal akan
dibahagikan antara rabbul mal dan mudarib berdasarkan nisbah perkongsian
keuntungan yang dipersetujui.
3.10 Jaminan Pihak Ketiga ke atas Modal dan Keuntungan
dalam Urus Niaga Mudarabah
Jaminan pihak ketiga keatas modal dan keuntungan dijangka
dalam urus niaga mudarabah adalah dibenarkan dengan syarat pihak ketiga yang
beriltizam untuk memberi jaminan mestilah merupakan pihak ketiga yang bebas
serta tidak mempunyai kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung
dengan mudarib. Sekiranya pihak ketiga yang menjamin boleh menuntut semula
amaun yang dijamin daripada penerbit sukuk jika berlaku kerugian, tau pihak
ketiga yang menjamin mengenakan caj fi untuk jaminan yang diberikan, pihak
penjamin diklasifikasikan sebagai pihak ketiga yang terikat atau tidak bebas
dan tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
4.0 Kesimpulan
Dengan terjawabnya isu-isu ini, dapat membuktikan keupayaan para ulama dan penasihat
Syariah dalam memanfaatkan kepakaran Syariah mereka dalam membantu
penstrukturan ciri-ciri produk yang kompetitif dan inovatif. usaha telah dipergiatkan lagi untuk memperkukuh urus tadbir
Syariah institusi kewangan Islam di pelbagai negara. Walaupun kewangan Islam
telah menunjukkan daya tahan sewaktu berlakunya krisis kewangan global
baru-baru ini, usaha terus dilaksanakan bagi memperkukuh lagi infrastruktur
kewangan antarabangsa dan pengawasan pengawalseliaan terhadap kewangan Islam.
Ini bagi memastikan kewangan Islam terus berkesan dan berdaya saing dalam
persekitaran kewangan antarabangsa yang semakin mencabar. Kesemua inisiatif ini
telah menyumbang kepada perkembangan pesat produk dan perkhidmatan yang lebih
kontemporari.
No comments:
Post a Comment