Powered By Blogger

Tuesday, October 22, 2013

KERACUNAN MAKANAN

Keracunan makanan merupakan satu wabak yang berbahaya. Keracunan makanan juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Baru-baru ini, akhbar dan media-media massa memaparkan kes keracunan makanan yang dialami oleh beberapa penduduk kampung di sekitar Jerai dan Yan di negeri Kedah. Mereka mengalami keracunan makanan sejurus selepas menjamu selera di satu majlis perkahwinan. Tiga orang daripada mangsa keracunan makanan telah meninggal dunia akibat tidak mendapatkan rawatan segera. Ketiga-tiga mangsa gagal mendapatkan rawatan segera menyebabkan mereka mengalami kekurangan air yang teruk.

keracunan makanan merupakan penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan dan minuman yang tercemar. Makanan dan minuman yang tercemar biasanya dijangkiti oleh kuman dan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan. Antara bakteria keracunan makan ialah Kumpulan Salmonella, Staphylocaccus Aureus, Eschericia Coli, Baccilus Cereus, Vibrio Parahaemolyticus dan Campylobacter. Selain itu, punca lain juga boleh membawa keracunan seperti bahan kimia racun serangga dan rumpai, logam berat dan tumbuhan serta hasil laut yang beracun seperti kulat dan cendawan. Kebanyakan kes-kes keracunan makanan disebabkan oleh bakteria, mikro-organisma, virus, racun atau toksin dan bahan-bahan kimia.

Keracunan makanan boleh dikenal pasti apabila terdapat tanda-tanda tertentu. Antara tanda-tanda keracunan makan ialah rasa loya, cirit birit, muntah-muntah, sakit perut, berpeluh atau deman dan sakit kepala. Kebiasaanya keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam setelah memakan makanan tercemar. Kesan bahaya akibat keracunan makanan adalah kehilangan air dalam badan. sekiranya tubuh kekurangan air dengan serius, ia boleh membawa maut. Ia juga boleh mengakibatkan keracunan sistem saraf yang boleh menyebabkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi-sendi yang berpanjangan (kronik).

Langkah-langkah berjaga-jaga mestilah diamalkan supaya dapat mengelakkan diri daripada mengalami keracunan. Kebersihan perlu dijaga sepanjang masa supaya diri sentiasa berada dalam keadaan bersih. Tangan perlu dibasuh dengan bersih apabila keluar dari tandas dan sebelum menyentuh makanan. Memastikan dapur dan tempat untuk meletakkan makanan adalah bersih. Makanan dan minuman perlulah dimasak dengan sempurna sebelum ia dimakan. Jika terdapat lebihan makanan, simpan makanan tersebut pada suhu yang betul. Jangan tinggalkan makanan pada suhu bilik melebihi 4 jam. Elakkan daripada makan di gerai-gerai yang kurang bersih.

Jika terdapat tanda-tanda keracunan makanan seperti cirit-birit, sakit perut atau muntah-muntah selepas memakan sesuatu makanan, segeralah pergi ke klinik yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Apabila mengalami keracunan makanan, pastikan makanan yang disyaki membawa penyakit itu tidak dimakan oleh orang lain. Jika terdapat ahli keluarga mengalami keracunan, maklumkan dengan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah supaya pihak kesihatan dapat mengawal penyakit tersebut daripada merebak.

Saturday, October 5, 2013

Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku

"Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" adalah merupakan tema hari kemerdekaan yang ke-56. Tema ini dipilih kerana ia dilihat lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan negara bangsa. Tema ini juga dipilih untuk mengingatkan rakyat tentang kepentingan bersatu mempertahankan negara disamping mewujudkan kesedaran rasa sayanag dan cintakan terhadap negara Malaysia.

Kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan warna kulit mestilah mempertahankan kemerdekaan yang telah diperoleh. Kedaulatan Malaysia perlu dipertahankan kerana ia adalah merupakan satu-satunya warisan untuk generasi yang akan datang. Kita semua semestinya tidak mahu lagi berada dibawah kawalan penjajah setelah tanah air kita dijajah selama lebih kurang 446 tahun yang bermula pada 1511 dan berakhir dengan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Antara kuasa-kuasa barat yang telah menjajah tanah air kita ialah Portugis, Belanda, British, dan Jepun.

Semasa penjajahan oleh kuasa-kuasa barat, nenek moyang kita dahulu telah bertungkus lumus dan mengharungi pahit getir dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Ramai pahlawan-pahlawan melayu telah bangkit untuk mempertahankan tanah air yang tercinta ini. Mereka sanggup menggadaikan nyawa demi untuk mempertahankan tanah air ini daripada terus dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Antara pahlawan-pahlawan melayu yang telah bangkit menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Ngah Ibrahim, Mat Salleh, Datuk Maharajalela, Tun Perak dan ramai lagi. Mereka telah berjuang sehingga titisan darah yang terakhir. Mereka gugur ketika cuba mempertahankan tanah air kita.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah bersatu padu dan menanam sikap perpaduan untuk sama-sama mempertahankan negara ini daripada segala anasir-anasir luar. Selain itu, rakyat Malaysia juga perlu memerdekakan minda mereka daripada dijajah oleh budaya dan pemikiran asing bukan sahaja memerdekakan tanah air. Dalam agama Islam juga kita dituntut supaya mempertahankan negara dari segala ancaman. Islam juga menuntut kita menjaga agama, nyawa, keturunan, maruah dan harta.

Justeru itu, masyarakat negara ini diseru supaya bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi oleh ancaman-ancaman luar. Sikap perpaduan dan patriotisme perlu dipupuk dan ditanam di dalam jiwa setiap anak bangsa supaya mereka menghargai betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan oleh generasi yang lalu demi kedaulatan negara.

Tuesday, October 1, 2013

Kesan Positif Dan Negatif Kenaikan Harga Minyak


Kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh pihak kerajaan pusat beberapa hari lalu telah memberi kesan kepada masyarakat dan negara sama ada kesan positif mahupun kesan negatif.

Kesan positif kenaikan harga minyak dapat dilihat apabila ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat dalam tempoh jangka masa panjang. Menteri kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata, walaupun mengakui ada kesan kenaikan harga minyak itu dalam kehidupan seharian, namun rakyat perlu melihat tindakan kerajaan itu adalah sesuatu yang dapat memberi kesan positif masa panjang. Tambahannya lagi, rakyat perlu melihat perkara ini dalam konteks yang menyeluruh memandangkan sebelum ini kerajaan telah memberi banyak subsidi termasuk subsidi minyak kepada rakyatnya dalam menjalani kehidupan harian selain memastikan ekonomi sentiasa kukuh.

Kenaikan harga minyak juga memberi kesan negatif kepada masyarakat. Hal ini kerana kenaikan harga minyak adalah berkadar terus dengan kenaikan harga barangan asas dan ia mempunyai hubungan rapat dengan populariti kerajaan. Semakin naik harga dan kos hidup, semakin tidak popular sesebuah kerajaan. Dalam banyak-banyak hal, pengguna akan lebih sensitif terhadap harga makanan dan petrol. Sebagai contoh, seperti di negara Indonesia dan Greece, kenaikan harga barangan menyebabkan rakyat yang berasa hidup mereka terhimpit memprotes dan bertindak hingga menjejaskan imej negara dan populariti kerajaan.

walaubagaimanapun kesan negatif lebih banyak berlaku daripada kesan positif. Rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat yang disebabkan kenaikan harga minyak. Rakyat yang berpendapatan rendah dan pertengahan akan lebih merasai kesan kenaikan harga minyak ini.